Sebahagian koleksi kiub Rubik yang ditempatkan di bilik Dr Nurul Khairiyah di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor.
MiNAT terhadap permainan kiub Rubik bukan sekadar hobi kanak-kanak, malah orang dewasa juga boleh menjadikannya aktiviti menarik untuk mengisi masa lapang.Malah, permainan yang memerlukan kemahiran menyusun warna mengikut kedudukan itu turut menjadi kegemaran seorang doktor pakar sakit puan, Dr Nurul Khairiyah Khairuddin. Menjengah ke biliknya di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor, sesiapa sahaja pastinya teruja melihat satu ruangan khas yang dipenuhi pelbagai jenis kiub Rubik.Dr Nurul Khairiyah menunjukkan kemahirannya menyelesaikan kiub Rubik dalam masa singkat.Jika kebiasaannya kita hanya mengenali kiub Rubik berbentuk 3x3, koleksi doktor ini jauh lebih menarik apabila mempunyai lebih 20 variasi bentuk termasuk piramid, windmill, tower dan gigaminx daripada pelbagai jenama.Malah, ibu kepada lima anak berusia antara sembilan hingga 21 tahun itu turut mempunyai beg khas untuk membawa permainan berkenaan ke mana sahaja beliau pergi.Berkongsi cerita dengan mStar, Dr Nurul Khairiyah berkata minatnya terhadap permainan itu bermula beberapa tahun lalu apabila dia dan suami membeli kiub Rubik untuk anak-anak sebagai alternatif bagi mengurangkan masa mereka bermain telefon ketika cuti sekolah."Minat ini bermula empat tahun lepas. Saya dan suami pada mulanya beli untuk anak-anak bagi mengalih perhatian mereka daripada bermain telefon."Apabila tengok anak-anak main kiub Rubik ini timbul perasaan nak cuba, boleh ke ia diselesaikan? Saya main semalaman dan apabila tak berjaya, saya rujuk di YouTube. Akhirnya berjaya juga selesaikan," katanya.Bermula daripada pengalaman itu, beliau semakin tertarik untuk mencuba pelbagai jenis kiub Rubik sehingga kini memiliki lebih 100 koleksi.Sebahagian besar koleksi berkenaan ditempatkan di biliknya di hospital, manakala selebihnya disimpan di rumah.Menariknya, semua koleksi itu bukan sekadar dijadikan perhiasan, sebaliknya aktif dimainkan bersama anak-anak.Menurutnya, anak keempat paling kerap menjadi teman bermainnya, malah mereka sering berlumba untuk melihat siapa paling pantas menyelesaikan kiub berkenaan."Rekod peribadi saya ialah satu minit lapan saat, tetapi anak saya lebih pantas dengan catatan satu minit dua saat," katanya.Antara variasi kiub Rubik yang dikumpulkan Dr Nurul Khairiyah sejak mula meminati permainan itu.Mengulas mengenai kepuasan bermain kiub Rubik, Dr Nurul Khairiyah berkata permainan itu memberikan kepuasan tersendiri selain merangsang kreativiti dan membantu dirinya mengurangkan tekanan.Sebagai seorang ketua jabatan, beliau mengakui tuntutan kerja adakalanya boleh menyebabkan tekanan, namun bermain kiub Rubik menjadi antara cara untuk merehatkan minda."Saya adalah ketua jabatan jadi daripada segi tugas ada kalanya buat kita dalam tekanan, namun apabila bermain kiub Rubik menjadikan diri lebih ligat, pelbagai idea timbul dan sebagainya."Untuk anak-anak pula, kesan selepas mereka bermain kiub Rubik ini saya nampak mereka lebih fokus dan memberi lebih perhatian kerana permainan itu sendiri memerlukan pemainnya sentiasa fokus," katanya.Lebih menarik, hobi itu turut memberi manfaat kepada anak-anak pesakit yang datang menemani ibu mereka ke hospital.Menurutnya, permainan tersebut kadangkala menjadi hiburan buat kanak-kanak yang mula merengek ketika menunggu, sekali gus membantu mengalihkan perhatian mereka.Malah, beliau tidak kisah sekiranya saudara-mara atau rakan yang berkunjung ke rumah membenarkan anak-anak mereka mencuba koleksi berkenaan.Katanya, dia tidak bimbang jika susunan kiub Rubik itu berubah kerana boleh menyelesaikannya semula.Kelebihan bermain kiub Rubik1. Meningkatkan fokus dan konsentrasi - Pemain perlu memberi perhatian kepada setiap pergerakan dan susunan warna untuk menyelesaikan kiub.2. Merangsang kreativiti - Membantu mencetuskan pelbagai idea ketika mencari cara untuk menyelesaikan sesuatu susunan.3. Mengasah kemahiran berfikir- Pemain perlu menggunakan strategi, mengingati langkah dan mencari penyelesaian.4. Mengurangkan tekanan - Menjadi aktiviti santai untuk mengalihkan perhatian daripada kesibukan dan tekanan kerja.5. Meningkatkan daya tumpuan kanak-kanak- Berdasarkan pemerhatian Dr Nurul Khairiyah, anak-anaknya lebih fokus selepas bermain permainan tersebut.6. Mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah - Boleh menjadi alternatif kepada penggunaan telefon atau gajet, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.7. Mengeratkan hubungan kekeluargaan- Boleh dijadikan aktiviti bersama ibu bapa dan anak-anak, termasuk mengadakan pertandingan menyelesaikan kiub dalam masa terpantas.8. Memberikan kepuasan diri - Kejayaan menyelesaikan kiub yang pada awalnya kelihatan sukar memberikan kepuasan tersendiri kepada pemain.